اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau

Thursday, August 26, 2010

Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar

Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya: ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT ,Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).
Sumber : http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=2084
Dr. Samsu Adabi Mamat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

P/S : 17 Ramadhan datang lagi. Semakin hampirlah kita dengan penghujung bulan yang penuh barakah ini. Menuju di penghujung ramadhan menerbitkan pelbagai rasa pada setiap manusia. Ada yang sedih , ada yang gembira, ada yang keliru antara keduanya. Apa juga perasaan yang tiba, tolak ketepi itu semua. paling penting tingkatkan lagi amalan, gandakan kebaikan & teruskan mengharap maghfirah dari Allah SWT. semoga apa yang kita usahakan ini diterima Allah dan dapat diteruskan di bulan-bulan yang seterusnya. semoga kita juga diberi rezki oleh Allah untuk dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Amin......

Thursday, August 19, 2010

Bersatulah

Ya Rabbi...Ya Rabbi
Ya Rabbal Alamin
Bangkitlah...Bangkitlah
Pemuda pemudi Islam
Bersatulah kita umat Islam
Jangan Bercerai berai hai umat islam

Ya Allah...Ya Allah
Allah Yang Maha Tinggi
Pada Mu...Pada Mu
kami berserah diri
Bersatulah kita umat islam
Jadikan hidup ini tenteram dan damai

Ya Allah tunjukilah kami
Ke jalan yang telah Kau redhai
Janganlah harta dunia ini
Menghalangi mengingat Illahi

Ya Allah ampunilah kami
Kuatkan iman hamba ini
Selalu ada dalam jiwa kami
Semoga tak terlepas lagi

Ya Allah...Ya Allah
Allah Yang Maha Tinggi
Pada Mu...Pada Mu
kami berserah diri
Bersatulah kita umat islam
Jadikan hidup ini tenteram dan damai

Ya Allah tunjukilah kami
Ke jalan yang telah kau redhai
Janganlah harta dunia ini
Menghalangi mengingat Illahi

Ya Allah ampunilah kami
Kuatkan iman hamba ini
Selalu ada dalam jiwa kami
Semoga tak terlepas lagi

Ya Allah tunjukilah kami
Jalan yang telah kau redhai
Janganlah harta dunia ini
Menghalangi mengingat Illahi

Ya Allah ampunilah kami
Kuatkan iman hamba ini
Selalu ada dalam jiwa kami
Semoga tak terlepas lagi
(Lirik lagu bersatulah oleh kumpulan sakha)

P/S : Sungguh terkesan dengan lirik lagu ini. Terutamanya pada bait-bait ini...Ya Allah tunjukilah kami, Jalan yang telah kau redhai, Janganlah harta dunia ini, Menghalangi mengingat Illahi, Ya Allah ampunilah kami, Kuatkan iman hamba ini, Selalu ada dalam jiwa kami, Semoga tak terlepas lagi...seringkali kita terleka dengan kemewahan yang ada sehingga adakalanya kita lupa pada Allah. Iman yang ada pula sangat rapuh. Sebab itu kena selalu mohon PadaNYA agar iman diperkuat dari sehari ke sehari agar nanti tidak tergelincir dari laluan yang diredhaiNYA.

Tuesday, August 17, 2010

Kejar Dunia Usah Sampai Lupa Akhirat

MALAS adalah satu penyakit. Ia menimpa semua orang termasuk remaja. Malas ada bermacam ragam, ada malas belajar, malas kerja, malas bercakap, malas makan serta seribu satu macam jenis malas lagi.


Malas ada risiko dan akibatnya, tetapi apa yang menakutkan adalah kalau malas beribadat. Akibat dan risiko malas yang lain boleh ditanggung, tetapi kalau malas beribadat tidak mampu ditanggung rasanya. Siapa yang sanggup menanggung azab sengsara dibakar api neraka.

Perhatian kita terhadap penyakit malas ibadat amat menurun dan corot terutama terhadap anak remaja kita. Lihat saja kalau anak kita tidak ke kelas tambahan atau tuisyen, bukan main marah kita maki dan kadang-kadang pukul mereka.

Berbanding keadaan kalau anak kita tidak menunaikan solat, puasa atau anak gadis tidak menutup aurat, tidak kita dengar suara menyuruh atau berleter. Kadang-kadang yang kita temui apabila emak atau ayah menyuruh adalah yang tolong bela. “Kasihan budak tu...biarlah dia tidur, di asrama tak cukup tidur...,” bela emak pada anaknya yang balik bercuti.

Kita memberi perhatian kepada pelajaran yang akan memberi skor ‘A’ dalam peperiksaan, tetapi bagi pelajaran fardu ain, kita buat tidak endah saja. Sebenarnya ini penyuburan nilai tidak prihatin kita yang ditanamkan terhadap anak tanpa kita sedari. Kita lebih khuatir masa depan dunia anak kita daripada masa depan agama mereka.

Dunia memang penting. Islam tidak pernah menolak dunia yang sehingga al-Quran mewasiatkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Carilah apa yang dikurniakan Allah terhadap perkara akhiratmu dan janganlah kamu lupa urusan dunia kamu...”Jangan lupa dunia antara mesejnya, tetapi jangan pula leka mencari dunia sehingga lupakan akhirat, kadang-kadang bukan saja lupa akhirat, malah Allah sebagai Tuhan yang disembah pun dilupakan juga.

Memang patut kita risau kalau anak kita tidak berjaya di dunia, tetapi lebih patut lagi kita risau kalau anak ke neraka gara-gara gagal beribadat ketika di dunia. Pesan dan motivasi anak supaya bersungguh-sungguh belajar, tetapi jangan lupa hendak berpesan kepada mereka supaya tidak mengabaikan ibadat terutama solat sebagai tiang agama.

Nabi Yaakub berpesan kepada semua anaknya sebelum wafat, “...apakah yang kamu sembah selepas kematianku...” Bagi yang lalai dan terlalu leka dengan dunia mungkin pesanannya sebelum mati, “...anak-anakku apa yang akan kamu makan selepas kematianku...”
(Mohd Zawawi Yusoh)
 
P/S : “Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya, dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esoknya.”

Monday, August 16, 2010

Nota Cinta

Andainya dapatku menulis
Nota-nota cinta buat diriNya
Ingin ku titipkan bersama
Semua kuntuman bunga
Yang indah berseri…

Ku sembur haruman mewangi
Bersama kata-kata puji
Sedang Dia tahu kasih dan cintanya aku
Menjalin ikatan menuju ke Syurga…

Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya padaNya
Kasihku tulus buatNya
Setiaku balas kasihNya
Kasihku kasih yang setia
Pada Yang Punya…

Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buatNya
Akurku kebesaranNya
Teragung Maha SuciNya
Taatku hamba yang hina
Pada Pencipta…

Kiranya aku hilang arah
Jalan hidupku berubah punah
Namun kasihNya tak pernah akan musnah
Belas rahmatNya terus mencurah-curah
Nur HidayahNya semakin cerah…
(lirik lagu nota cinta oleh kumpulan saujana)

P/S : Cintaku padaMu biarlah KAU sahaja yang tahu....

Seorang Lelaki

Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,
Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.
(sumber: I luv Islam.com)

P/S : Ku harap ku jadi seorang lelaki seperti yang digambarkan di atas....InsyaAllah.

Saturday, August 14, 2010

Jadikan Ramadhan Ini Yang Terbaik Untuk Kita

Salam semua. Ramadhan datang lagi. 3 hari telah kita laluinya dan kini hari ke 4 sudah masuk separuh perjalanannya. Apa pembaharuan untuk kita di bulan yang penuh ganjaran ini? Adakah masih sama seperti bulan-bulan yang lain..seperti hari-hari yang lain..seperti jam-jam yang lain..alangkah ruginya kita. Benar kita di ajar agar tidak hipokrit pada diri. nak berubah tidak perlu tunggu bulan ramadhan. nak beribadah tidak perlu tunggu bulan ramadhan. nak solat sunat, bertadarus, bertadabbur, bersedekah dan segala amalan baik tidak perlu tunggu bulan ramadhan.semua itu benar. tapi sedarkah kita dalam kita melewati bulan-bulan, hari-hari dan jam-jam yang sebelum ini, adakah kita pernah dijanjikan dengan terlepasnya kita dari bisikan syaitan laknatullah. Adakah kita dijanjikan dengan ibadat sunat mendapat pahala seperti ibadat fardhu dan pelbagai lagi tawaran terbaik dari Allah? Ini bulan kita. Ramadhan diberi pada kita untuk menguji sekuat mana kita berdepan dengan hawa nafsu yang selalunya seiring dengan bisikan kejahatan syaitan. Dirantai syaitan durjana. dibukakan pintu syurga. ditutup pintu-pintu neraka. diberi pelbagai kelebihan. semua ini sebagai suntikan semangat untuk berubah. di bulan inilah sepatutnya kita mula muhasabah diri semula. kaji kelemahan diri. jika gagal kita di bulan mulia ini, kebarangkalian besar untuk gagal di sepanjang bulan lain adalah besar sekali. Jika dalam pada kita dihindarkan dari godaan syaitan pun kita masih gagal, bagaimana pula kita nak berdepan godaan-godaannya di bulan-bulan yang lain. Jadi jelas sekali tiada hipokrit sekiranya kita mula menambah amal pada bulan ramadhan ini. Semoga pembaharuan yang kita mulakan di bulan ramadhan ini menjadi titik pemula peperangan kita berdepan musuh terbesar kita sebagai seorang muslim. Kita mampu sebenarnya berdepan dengan apa sahaja asalkan kita letakkan sepenuh kepercayaan kita kepada yang MAHA KUASA.

Seharusnyalah kita mula berfikir sejenak. Masa kita di dunia ini sangat suntuk. apa yang kita kejar selama ini belum tentu menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia apatahlagi di akhirat nanti. Saya selalu mendengar nasyid dan antara bait-bait  lagunya adalah ...hidup ini bagai lampu dinding, yang dinyalakan di malam hari, apabila minyak sudah kering, ia kan pasti padam sendiri.... sebenarnya hidup kita ini adalah lebih malang jika nak dibandingkan dengan lampu dinding. lampu yang kehabisan minyak boleh kita isi semula dan pasti akan menyala semula. bermakna lampu dinding beroleh peluang kedua, ketiga dan seterusnya. Kita pula bila sudah kehabisan umur, dimana peluang kedua kita. Tiada bukan. Jadi, satu-satunya peluang yang telah diberi ini gunakanlah sebaiknya. Jika bukan sekarang, bila lagi. Ajal yang datang tidak dapat kita jangkakan. Mungkin sekarang kita gagah dan kuat perkasa. sekelip mata kegagahan hilang bila roh mula ditarik-tarik keluar oleh Izrail. Siapa kita untuk menghalangnya. apa daya kita untuk lengahkannya walau sesaat dua. Mungkin sekarang kita sedang memandu dengan hebatnya di jalanraya. tetapi seminit dua lagi apa yang kita boleh duga. kemalangan mungkin penyebab keluarnya roh dari jasad kita tetapi apa kemampuan kita menghindarkannya. Ingatlah akan KekuasaanNYA dan kebesaranNYA. Bila ALLAH berkata jadi, maka jadilah ia mengikut kehendak yang MAHA KUASA walaupun aneh di penglihatan hamba. Jangan berlengah lagi. Belum terlewat untuk kita mehidupkan bulan mulia ini. Jadikan Ramadhan ini yang terbaik untuk kita seolah-olah kita tidak akan lagi berjumpanya di masa-masa mendatang. Semoga terbukalah pintu-pintu keampunan buat kita. Semoga terbukalah pintu-pintu kebaikan buat kita. Semoga terbukalah pintu-pintu rahmat buat kita. semoga terkatup rapatlah pintu-pintu kemaksiatan, keburukan dan kehinaan buat kita. Teruskan mencari bekal terbaik untuk di bawa pulang. Akhirnya, ingatlah bahawa kita ini lebih malang di bandingkan dengan lampu dinding.Kita tiada peluang kedua selepas roh kita kembali kepada Pencipta. Jadi gunakanlah satu-satunya peluang yang ada dengan sebaiknya agar tiada penyesalan di alam yang sedang menanti kita.

P/S : Gunakanlah sesuatu nikmat yang diberi Allah itu sesuai dengan tujuan nikmat itu dicipta. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan.selamat beribadah kepada semua.

Saturday, August 7, 2010

Syukur Alhamdulillah...



Selalu kusakiti Engkau dengan dosaku
ku balas segala kebaikan-Mu dengan kekurangan
Tiada pernah ku menyadari semuanya
Bahwa nafas yang ku hirup adalah kuasa-Mu

Alhamdulillah ku syukuri semua
Terimakasih ku Ya Allah
Atas indahnya hidup

Alhamdulillah ku syukuri semua
Terimakasih ku Ya Rabbi
Atas rahmat dalam hidupku

Selalu ku tinggalkan Engkau dengan khilafku
Kubalas semua kemurahan-Mu dengan keburukan
Tiada pernah ku menyadari semuanya
Bahwa nafas yang ku hirup adalah kuasa-Mu