اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau

Friday, June 25, 2010

Soalan & Jawapan


Soalan : Adakah Aku Sudah Dikira Beriman?
Jawapan : “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman, “ sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yang dusta.". (Surah al-Ankabut : 2-3)

Soalan : Kenapa Aku Tak Dapat Apa Yg Aku Idamkan???
Jawapan : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui". (Surah al-Baqarah:216)

Soalan : Kenapa Susah Sangat Ujian Ini???
Jawapan : "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Surah al-Baqarah : 286)

Soalan : Aku Rasa Frust?Tension?Lemah Semangat?
Jawapan : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang beriman." (Surah ali-Imran : 139)

Soalan : Bagaimana Harus Aku Menghadapinya?Huh
Jawapan : "Wahai orang2 beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertqwalah kamu kepada Allah supaya kamu lebih berjaya (mencapai kemenangan). "(Surah al-Imran : 200)
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembanhyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusuk". (Surah al-Baqarah : 45)

Soalan : Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ini???
Jawapan : "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang2 mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.(Surah At-Taubah : 111)

Soalan : Kepada Siapa Aku Berharap???
Jawapan : "Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129)

Soalan Terakhir : Arghhh..Aku Tak Tahan!!!! Aku Dah Bosan!!!
Jawapan : "....dan janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari Rahmat Allah melainkankaum yang kafir." (Surah Yusuf : 12)
(putri umi)

P/S : Semuanya ada dalam al-Quran. cari dan terus mencari kerana di situlah lubuk ilmu sebenarnya.

Monday, June 21, 2010

Ujian vs Ketabahan


Bila Kau Memandang Segalanya Dari Tuhanmu,
Yang Menciptakan Segalanya,
Yang Menimpakan Ujian,
Yang Menjadikan Sakit Hatimu,
Yang Membuatkan Keinginanmu Terhalang,
Yang Menyusahkan Hidupmu,
Pasti Akan Damailah Hatimu,
Kerana... Masakan ALLAH Sengaja,
Mentakdirkan Segalanya,
Untuk Sesuatu Yang Sia-sia...
Bukan ALLAH Tidak Tahu,
Deritanya Hidupmu,
Retaknya Hatimu...
Tapi Mungkin Itulah Yang DIA Mahu,
Kerana DIA Tahu Hati Sebeginilah,
Yang Selalunya Lebih Lunak & Mudah Untuk Dekat & Akrab Dengan-NYA

P/S : Selalu ingatkan hati bahawa Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Layar Keinsafan



Sepi benar senja ini
Bayunya semilir, menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang
Kapal dan layar terkapar

Mengapa nantikan senja
Barukan terdetik, pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan

Tuhan layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan

Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan

Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dini hari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar

Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi

PadaMu Tuhan
Kan kuserahkan cinta kepadaMu

Tuhan layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan

Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan

Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dini hari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar

Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi

Harapanku moga dikurniakan
Manisnya iman berpanjangan
Moga lautan hilang gelora
Untukku berlayar

P/S : Biar hina di mata manusia kerana apa kuasanya untuk tentukan syurga nerakamu. Jangan hina di mata Pencipta kerana menyesal kemudian tiada maknanya.

Monday, June 14, 2010

Selamat Datang Bulan ALLAH


Bulan Rejab adalah termasuk di dalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam. Firman Allah s.w.t. Maksudnya ; Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.

Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;

Pertama : Peristiwa isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama’ Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.

Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat di dalam bulan Rejab. Sesetengahnya pula akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang mereka lakukan di dalam bulan ini ada fadhilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada orang yang beramal soleh hanya Dia sahaja yang maha mengetahuinya. Oleh kerana itu, sudah sewajarnyalah di dalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dan mendapat keredhaannya.

Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis Nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira di dalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan sepertimana juga di dalam bulan-bulan yang lain, di antaranya ;

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ; Sabda Rasulullah s.a.w. “ Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya.”
Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ; “ Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )”

3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “ Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia.”

Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan-amalan ini, sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ini, sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus kedalam perkara-perkara maksiat dan masalah-masalah sosial yang lain.

P/S : Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'aban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan (Imam al-Baihaqi)

Friday, June 11, 2010

Kenangkanlah Saat Berpisah

Bangkitku dari lena pagi ini seperti hari-hari yang berlalu. Masih diizinkan Ar Rahiim untukku menghirup secangkir kehidupan. Menghirup nikmat-nikmat Allah yang tak terhitung banyaknya menguji iman di hati adakah bersyukur atau alpa. Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu. Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu dek kesibukan duniawi yang melalaikan kita dari mengingati suatu kematian yang pasti.

Mati seolah-olah “mati” dalam hidup kita. Saban hari orang bersengketa – tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada. Harta, kuasa, nama dan populariti jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi. Cinta dunia melenyapkan hakikat adanya sebuah kehidupan yang abadi.

Kita tidak tergamak, bermusuhan sesama saudara, sesama sahabat dan sesama Islam kalau kita kita ingatkan mati. Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya. Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?

Wahai diriku dan saudara-saudariku, mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah. Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu. Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu. Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati. Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka. Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…

Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan: “Wahai diri, aku akan mati”! Kemudian bukalah mata, dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit berbanding apa yang akan dihadapi nanti. InsyaAllah, akan lapanglah hati… dan mulut mampu tersenyum dengan segala cabaran yang mendatang. Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?

Begitulah diriku dan saudara-saudariku, keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia. Kenangkanlah saat berpisah kerana…

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini?

Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan: “Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama: “Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.

Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Ingatlah, kata-kata ini: “In life, what sometimes appears to be the end is really a new begining.”

Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Amin.
( Ustaz Pahrol Mohamad Juoi )

P/S : Isikan tempoh singkat kehidupan dunia ini dengan amal ibadat padaNYA buat bekalan untuk kehidupan di alam yang kekal selamanya.

Wednesday, June 9, 2010

CINTA


Ya Aziz…..Jika Cinta Adalah Ketertawanan
Tawanlah Aku Dengan Cinta Kepada-Mu
Agar Tidak Ada Lagi Yang Dapat
Menawanku Selain Engkau

Ya Rahim……Jika Cinta Adalah Pengorbanan
Tumbuhkan Niat Dari Semua Pengorbananku
Semata-mata Tulus Untuk-Mu
Agar Aku Ikhlas Menerima Apapun Keputusan-Mu

Ya Rabbi…Jika Rindu Adalah Rasa Sakit
Yang Tidak Menemukan Muaranya
Penuhilah Rasa Sakitku
Dengan Rindu Kepada-Mu
Dan Jadikan Kematianku Sebagai
Muara Pertemuanku Dengan-Mu

Ya Rabbii……Jika Sayang Adalah Sesuatu Yang Mempesona
Ikatlah Aku Dengan Pesona-Mu
Agar Damai Senantiasa Kurasakan
Saat Terucap Syukurku Atas Nikmat Dari-Mu

Ya Allah……Jika Kasih Adalah Kebahagiaan
Yang Tiada Bertepi
Tumbuhkan Kebahagiaan Dalam Hidupku
Di saat Kupersembahkan Sesuatu Untuk-Mu

Ya Allah…Hatiku Hanya Cukup Untuk Satu Cinta
Jika Aku Tak Dapat Mengisinya Dengan Cinta Kepada-Mu
Kemanakah Wajahku Hendak Kusembunyikan Dari-Mu

Ya Ar-Rahman……Dunia yang Engkau Bentangkan Begitu Luas
Bagai Belantara Yang Tak Dapat Kutembus
Di Malam Yang Gelap Gulita
Agar Tidak Tersesat Dalam Menapakinya

Ya Ar-Rahim…Berikan Alas Kaki Buat Hamba
Agar Jalan Yg Kutapaki Terasa Nikmat
Meski Penuh Dengan Bebatuan Runcing & Duri Yang Tajam
Hamba Sedar Semua Ini Milik-Mu Dan Suatu Saat
Jika Kau Kehendaki Semuanya Akan Kembali Jua Kepada-Mu
Hamba pasrahkan kehidupan hamba kepada-Mu
(blog sajak-alhidayah)

P/S : Rinduku pada-Mu hanya Kau saja yang tahu.

Saturday, June 5, 2010

Kejamnya Manusia...


Proses pengguguran anak luar nikah.

P/S : Sayu, tersentuh hati & hampir menitis airmata  melihat kekejaman manusia ini. Pesananku, didiklah keluargamu dengan didikan islam sempurna. Moga-moga dengannya diri & keluargamu terhindar dari musibah dan malapetaka dunia & akhirat.

Kisah & Tauladan ( Kisah Benar )


Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya,tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung. Ustaz," kata wanita itu. "Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya,namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya. "Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya. "Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih." "Makcik lihatlah betul-betul. " kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya. "Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu."Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. " kata saya untuk menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, "Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik. Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut. Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya .

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan diri, saya berkata, "Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."

Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, "Orang tua mana pula?" katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya,tuturannya serta pakaiannya. "Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!" Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?
Sumber : E-mel

P/S : Renung-renungkan, fikir-fikirkan...

Friday, June 4, 2010

Berhati-hatilah Dengan Solatmu


•“Wahai yang empunya diri, sudahkah selesai mendirikan solat?”
“Sudah, Alhamdulillah.

•Apakah kamu telah berniat dan mengangkat takbir ketika memulakan solatmu?”
“Ya.”

•Apakah ketika kamu memasang niat dan mengangkat takbir itu, kamu rasakan itu mungkin solatmu yang terakhir, kerana mati boleh menjemputmu bila-bila masa?”
“Tidak..”

•“Adakah ketika lidahmu menyebut ‘Allahu akbar’, hatimu turut membesarkan Allah?”
“Tidak..”

•“Kalau begitu, kamu tidak benar-benar berniat dan mengangkat takbir.”
“….”

•“Ketika lidahmu melafazkan doa iftitah, adakah kamu mengiyakannya bahawa hidupmu dan matimu hanya untuk Allah yang Esa?”
“Tidak..”

•“Ketika surah al-Fatihah kamu baca, adakah hatimu bersyukur kepada Allah, Tuhan yang kamu sembah dan tempat meminta pertolongan, lantas kamu memohon diberi petunjuk ke jalan yang diredahi-NYA dan dijauhkan dari jalan yang sesat lagi dimurkai-NYA?”
“Tidak..”

•“Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak membaca apa-apa dalam solatmu.”
“….”

•“Adakah kamu telah menyempurnakan rukuk dan sujud serta menjaga pergerakanmu agar tidak mendahului imam?”
“Ya.”

•“Dan ketika rukuk dan sujud itu, adakah hatimu tunduk dengan penuh rasa hina diri ke hadrat Allah dan benar-benar merasakan kebesaran-NYA dan kamu merasakan Allah melihatmu dan menilai solat yang sedang kamu kerjakan?”
“Tidak..”

•"Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak rukuk dan sujud.”
“…”

•“Dalam solatmu, adakah kamu berniat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan sesuatu amalan juga kebaikan yang paling utama?”
“Tidak..”

•“Dan ketika kamu akhiri solatmu dengan ucapan salam, adakah hatimu berasa takut kalau-kalau solat yang baru kamu kerjakan tidak diterima Allah lalu amalan itu dilemparkan kembali ke mukamu, di samping menaruh harapan agar Dia mahu menilai solatmu sebagai pengabadian darimu?”
“Tidak..”

•“Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak mendirikan solat keranaNYA dan tidak pula mengingati dan mendekatkan dirimu dengan Allah melalui solatmu”. Berhati-hatilah kerana Allah telah berfirman:
‘Neraka Wail bagi orang yang solat, yang mereka itu lalai dalam solatnya.’ (Al-Ma’un”: Ayat 4-5)
“Astaghfirullahal azim…Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk memperbaiki solatku dan menjadikannya wadah untuk tambah dekat dan hampir dengan-Mu.”
(Anis 2002)

P/S :  Check balik solat kita adakah benar2 kita ikhlas atau sekadar melepas batuk di tangga.

Thursday, June 3, 2010

Kembali Pada Tuhan ( Jalaluddin Rumi )

Jika engkau belum mempunyai ilmu, hanyalah prasangka,
maka milikilah prasangka yang baik tentang Tuhan.
Begitulah caranya!

Jika engkau hanya mampu merangkak,
maka merangkaklah kepadaNya!

Jika engkau belum mampu berdoa dengan khusyuk,
maka tetaplah persembahkan doamu
yang kering, munafik dan tanpa keyakinan,
kerana Tuhan, dengan rahmatNya
akan tetap menerima mata wang palsumu,

Jika engkau masih mempunyai
seratus keraguan mengenai Tuhan,
maka kurangilah menjadi sembilan puluh sembilan saja.
Begitulah caranya.

Wahai pejalan,
biarpun telah seratus kali engkau ingkar janji,
ayuhlah datang dan datanglah lagi.

Kerana Tuhan telah berfirman:
“Ketika engkau melambung ke angkasa ataupun terpuruk ke dalam jurang, ingatlah kepadaKu, kerana Akulah jalan itu.”

P/S : kembalilah padaNYA nescaya kau akan dapat maghfirahNYA.

Sajak Asy Syahid Sayyid Qutb


Sahabat,
Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang sudah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini
Dan ...
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah di syurga Allah
Terhampar menanti
Burung burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku disana

Sahabat,
Puaka kegelapan pasti kan lebur
Fajar kan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana ... cahaya fajar memancar

Asy-Syahid Sayyid Ibnu Qutb Ibrahim
Isnin 13 Jumadil Awal 1386

P/S :  Ya Allah kuatkanlah aku untuk terus berjuang di jalanMu dalam apa juga keadaan.

Wednesday, June 2, 2010

Palestin......sampai bila


Sangat sedih mengenangkan saudara-saudara kita di bumi anbia di sana apabila mereka disembelih sesuka hati tanpa sebarang rasa kemanusiaan & kebinatangan oleh zionis yahudi yang terlaknat. kenapa kebinatangan? kerana masih ada spesis-spesis binatang yang mengenal erti timbang rasa tapi dalam kes ini, yahudi laknatULLAH lebih hina dari binatang.Lalu apa yang boleh kita buat....jika di zaman nabi dulu, berlumba-lumba muslimin berebut untuk syahid tetapi apa yang berlaku sekarang 360 darjah berubah. Sebaliknya bantuan tidak langsung diberikan kepada yahudi LaknatULLAH dari kerajaan yang pernah buminya didiami oleh Nabi Musa A/S. jadi apa lagi yang boleh diharap dari umat islam sekelilingnya...demonstrasi! sampai bila ingin berdemonstrasi.bukan tidak setuju. Ini adalah salah satu cara meluahkan rasa amarah dan sakit hati  tetapi apakah luahan rasa sakit hati kita sebagai umat islam dengan cara demonstrasi ini akan mengubat kelukaan dan kesengsaraan saudara-saudara kita di sana.nah...inilah masanya untuk kita bersatu dengan kaedah yang lebih efisien.....salah satunya seperti yang disyorkan mantan perdana menteri kita iaitu dengan memboikot barangan bahkan matawang zionis & sekutunya.seterusnya daripada kita berdemonstrasi di jalan-jalan dan lorong-lorong utama hingga menyebabkan kesesakan, adalah lebih baik kita berkumpul di tempat ibadat kita sebagai seorang muslim iaitu masjid dan surau, kita adakan solat hajat dan berdoa untuk kesejahteraan saudara kita di sana.Ini adalah lebih baik.bukankah doa itu adalah senjata yang paling ampuh untuk kita sebagai umat Muhammad S.A.W. dan bagi yang lebih berkemampuan, mungkin boleh membantu dengan harta yang ada.memang sangat menyebakkan hati dan perasaan dengan kekejaman ini tetapi ingatlah akan janji Allah...akan tiba suatu hari nanti kemenangan bagi orang Islam. Bila dan bagaimana hanya Allah sahaja yang tau kerana sebaik-baik perancangan adalah dari Allah.

P/S : Sakit hati dengan Israel tetapi dalam masa yang sama sangat irihati dan cemburu dengan warga palestin yang Syahid....