اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau

Monday, April 26, 2010

5 Alam (Perjalanan Lengkap Makhluk Bernama Manusia)


Segala puji bagi Allah S.W.T yang mana telah mencipta bumi dan langit, bumi itu pula berlapis, dan langit itu bertingkat walaupun kita tidak dapat lihat dengan mata kasar.. Begitu juga dengan manusia yang hidupnya itu akan melalui alam-alam, yang bermula dengan penciptaan datuk moyang kita Nabi Adam A.s hingga ke alam barzakh sebelum kita ke alam yang abadi iaitu kekal di Syurga.

Berapa alam yang manusia akan lalui sebenarnya?

Alam yang pertama :
1. Alam yang kita lalui di sulbi ayah.
2. Kemudian berpindah ke dalam Rahim ibu.

“Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunan Adam dari punggungnya, dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu”(Surah Al-A’raaf ayat 172)

Jelaslah di ayat ini, yang mana Allah S.W.T telah menyatakan kisah Hari Mitsaaq (hari perjanjian) yang mana kita zuriat Nabi Adam A.s telah pun berjanji untuk mengakui keesaan dan ketuhanan Allah S.W.T

Alam yang manusia akan telah pun lalui di alam yang mana masanya sejak Allah Ta’ala mencipta Adam A.s dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya yang penuh keberkatan.

Alam yang kedua : Alam yang kita menjalani hidup di dunia.

Ibnul Jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur itu kepada lima kategori:
1. Masa kanak-kanak: iaitu dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun.
2. Masa muda: iaitu dari peringkat umur lima belas tahun (15), hingga umur tiga puluh lima tahun (35).
3. Masa dewasa: iaitu dari peringkat umur 35 tahun, hingga 50 tahun.
4. Masa tua: iaitu dari peringkat umur 50 tahun hingga umur 70tahun.
5. Masa tua Bangka, iaitu dari peringkat umur 70 tahun hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.

Mengapakah para Ulama telah membahagikan umur-umur manusia hingga sedemikan peringkat? Apa yang kita sebagai manusia -lebih lebih lagi umat Islam dapat mempelajari dari pembahagian ini?

Kerana di alam yang kedua inilah alam yang tidak kekal alam yang manusia diminta untuk beramal dan diuji, amalan kita di ambil kira dihisab, oleh itu, maka elok kita mengenal pasti peringkat mana yang harus kita mula mendidik dan anak-anak kita mula beramal. Bukan kah Nabi Muhammad S.A.W telah memesan umat Islam:
“Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara”
1. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan.
3. Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
4. Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.

Alam yang ketiga : Di alam Barzakh, ketika kita di kubur.

Bermulanya dari masa manusia keluar dari dunia ini dengan menempuhi mati hinggalah ia dibangkitkan dari kubur.

Siksaan kubur
Siksaan Kubur adalah HAK iaitu benar, sepertimana Rasulullah s.a.w pernah berpesan. Dan beliau telah mengkhabar pada umatnya, “Kebanyakan siksa kubur disebabkan tiada memelihara diri dari kencing.”

Nabi juga berpesan supaya kita memohon pada Allah Ta’ala supaya dihindarkan dari siksaan kubur. Alam yang Allah S.W.T telah nyatakan dalam firmannya: “Dan di hadapan mereka terdapat Barzakh, hinggalah ke hari mereka dibangkitkan.”(Al-Mu’minun: 100)

Di alam ini, walau jasad musnah kecuali para wali-wali Allah S.W.T ditelan bumi dek zaman, tetapi roh manusia itu kekal di alam Barzakh. Di alam yang mana manusia lalui antara alam Dunia dan alam Akhirat di masa antara dua tiupan.

Alam yang keempat : Di Padang Mahsyar

Bermulanya daripada kebangkitan manusia dari kuburnya untuk menerima pengadilan Tuhan, sehinggalah kepada masuknya ahli syurga ke syurga, dan masuknya ahli neraka ke dalam neraka. “ Dan ditiupkanlah pada sangkakala, maka mereka pun bangun dari kubur masing-masing, lalu datang kepada Tuhan mereka dengan berbondong-bondong.”(Yassin:51)

Mizan (Amalan ditimbang)
Di alam ini, umat manusia akan melalui saat genting, mereka akan menuju ke padang Mahsyar supaya amalan mereka dihitung oleh Allah S.W.T, bahkan amalan mereka akan di timbang, sebagaimana firman Allah Taa’la: “ Dan neraca pada hari itu tepat, maka barangsiapa yang berat timbangannya (kebaikan), niscayalah mereka itu menjadi orang-orangyang beruntung. Dan barang siapa yang ringan timbangannya, niscayalah mereka itu adalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tiada mempercayai keterangan-keterang an Kami.” (Al-A’raf:8-9)

Di titian Shirath
Setelah itu manusia akan melalui Shirath (jambatan), yang mana ianya dipasang di atas muka jahannam, seperti diriwayatkan, Shirath itu lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut, tatkala itu manusia akan melaluinya menurut kadar amalan masing-masing.
a. Ada yang umpama kilat ketika melintasi titian Shirath. Ada yang umpama angin. Ada yang seperti burung atau kuda.
b. Begitu juga ada yang merangkak dan ada yang dijilat api, dan yang ada terjerumus ke gaung nereka.

Di telaga Nabi Muhammad S.a.w (Haudh)
Setelah terlepas dari titian Shirath, tatkala itu umat manusia yang beriman akan menghampiri Haudh (telaga) Rasulullah S.a.w dan sekali teguk saja segala haus dan dahaga akan hilang. –Supaya Allah mengurniakan pada kita seteguk dari cawan Rasulullah S.a.w- Air dari Haudh itu lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.

Pesanan Rasulullah S.a.w “Siapa yang melepaskan dari seorang Muslim satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keburukan) seorang Muslim, niscaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat.”

Dan marilah kita hayati kata mutiara dari Rasulullah S.a.w sebagai pedoman untuk kita tempuhi alam yang keempat ini, dan kita mengharapkan Syafaat dari Baginda S.a.w disaat itu sepertimana kita mengharapkan Syafaat serta Wasilah. Beliau setiap kali kita membaca Doa azan, “Wahai Tuhanku yang mempunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan ini, berikanlah dengan limpahan kurniaMu kepada Muhammad Wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan serta limpahkanlah kepadanya Maqam yang terpuji yang Engkau telah janjikan baginya.”

Alam yang Kelima : Di negeri Abadi (Syurga dan Neraka)

Di alam ini, adalah masa kemasukan ahli neraka dan kemasukan ahli syurga ke syuga buat selama-lamanya yang tiada hujung dan penghabisannya.

Bukankah Nabi Muhammad S.a.w diutuskan untuk membawa rahmat untuk alam-alam, namun begitu ada yang telah mengingkari risalah yang diutuskan oleh Allah S.w.t. Maka balasan buat oleh yang telah mendustakan Nabi dan tidak beriman, maka balasan mereka seperti tertera dalam Al-Quran:

“ Maka Aku memperingatkan kamu akan api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang jahat. Yang mendustakan (kebenaran) dan yang membelakangkan.”(Al-Lail: 14-16)
Telah Allah ciptakan neraka itu dengan mempunyai tujuh pintu. Sebagaimanayang tersebut di dalam Al-Quran: “Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yang sudah ditentukan.”
Nama-nama pintu dan tingkat neraka:
1. Jahannam
2. Saqar
3.Lazha
4.Huthamah
5. Sa’iir
6.Jahim
7. Hawiyah
Semua lapisan neraka yang tujuh itu telah diasak dengan berbagai-bagai penyiksaan yang berat, hukuman yang dahsyat serta penghinaan yang terkeji. Kami memohon Allah Ta’ala, agar Dia melindungi kami sekalian dari siksaan api neraka dan melindungi datuk-nenek kita, kekasih-kekasih kita dan semua kaum Muslimin.

Syurga buat mukmin
Alam syurga yang mana telah dijanjikan buat orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Bukankah Allah S.w.t telah mengkhabarkan kepada kita : “ Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya.” (Az-Zumar:73).
Syurga yang mana Nabi Muhammad S.a.w pernah bersabda: “ Berfirman Allah Ta’ala: Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang saleh sesuatu yang tiada pernah:
a.dilihat oleh mata.
b. didengar oleh telinga
c. tiada telintas di hati sesiapa pun.

Nikmat-nikmat di syurga:
Bayangkan, segala nikmat yang berlaku didunia ini, tiada bandingannya di Syurga, yang penuh dengan nikmat-nikmat yang hebat diantaranya:
1. Mereka ahli syurga: bersandar di atas permaidani yang sebelah dalamnya diperbuat dari sutera.
2. Ada gadis-gadis sopan santun, belum pernah disinggung oleh manusia dan jin, dan mereka itu bagaikan permata delima dan mutiara.
3. di syurga An-Naim: ada sofa yang bertatahkan emas dan batu permata.
4. Mereka tiada merasa pening kepala atau mabuk.
5. Bidadari-bidadari yang bemata bulat jelita.
6. Tiada matahari yang berhawa panas dan bulan yang berhawa dingin.
7. Air mata Salsabil.
8. Mereka memakai pakaian dari sutera halus.

Nikmat yang besar selepas masuk ke syurga:
Melihat Allah S.W.T
Syurga-syurga yang sediakan ini, ada lapan pintu, dan ianya berbeza dari satu yang lain dan antara satu darjat dengan darjat yang lain sama seperti antara langit dan bumi.Darjat yang paling tinggi ialah Syurga FIRDAUS yang mana diatas nya terletak Arasy Allah S.w.t dan orang-orang beriman tatkala itu dilimpahi berbilang-bilang nikmat, sehingga ditanya pada mereka: Apakah ada sesuatu yang lain yang kamu mahukan Aku tambahkan? Mereka menjawab:
a. bukankah Engkau telah memasukkan kami syurga
b. dan menyelamatkan kami dari api neraka?

Kemudian Hijab pun terangkat. Maka pada ketika itu, tiada sesuatu yang diberikan kepada kamu lebih utama daripada nikmat melihat kepada Wajah Tuhan Azzawajalla.

P/S : Petikan dari buku: Peringatan Tentang Umur Insan oleh Imam Habib Abdullah Haddad
Terjemahan: Syed Ahmad Semait

Tanda-Tanda Takut Kepada Allah


MENURUT Abul-Laits tanda-tanda takut kepada Allah dapat dilihat dalam tujuh perkara :

Pertama, pada lisannya.
Seseseorang itu yang menghindarkan daripada dusta, ghaibah, menyibar fitnah, berbual-bual kosong dan banyak bercakap. Malah menyibukkan diri dengan zikir, membaca al Quran dan muzakarah ilmu.

Kedua, pada hatinya.
Seseorang itu membuang masa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Perlunya membuang kedengkian kerana dapat menghapuskan kebaikan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda; “Hasad dapat memakan kebaikan sebagaimana api yang membakar kayu.” Penyakit hasad adalah amat merbahaya. Tidak ada ubat untuk mengatasi penyakit ini selain ilmu dan amal.

Ketiga, pada pandangan.
Seseorang yang tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian dan hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpesona dengan dunia. Sebaliknya dia memandang dengan mengambil iktibar. Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Barang siapa memenuhi matanya dengan benda haram, maka Allah akan memenuhinya dengan api pada hari Kiamat.”

Keempat, pada perutnya.
Perut seseorang itu tidak diisi dengan barang dan wang haram, hasil curi, rompak, rasuah dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesuap makanan haram masuk ke perut, seluruh Malaikat di langit dan di bumi akan melaknati selama barangan itu berada di dalam perutnya. Jika mati di dalam keadaan demikian maka dia akan di tempatkan ke Neraka.”

Kelima, pada kedua tangannya.
Seseorang yang tidak menggunakan kedua tangannya untuk melakukan sesuatu yang haram melainkan untuk taat kepada Allah. Dirawikan daripada Ka’ab Akhbar dia berkata; “Sesungguhnya Allah telah membina bangunan dari zamrud hijau. Di dalam terdapat tujuh puluh ribu aula. Setiap aula terdapat tujuh puluh ribu pondok. Tidak dapat masuk ke kawasan itu selain orang ditawarkan barang haram, namun dia menolak kerana takut kepada Allah.”

Keenam, pada langkah kakinya.
Seseorang itu tidak menggunakan kakinya untuk melangkah ke tempat maksiat. Tetapi melangkah hanya untuk taat kepada Allah, mencari keredhaan-Nya serta untuk bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh.

Ketujuh, terlihat kepada ketaatnya.
Seseorang itu menjadikan ketaatannya semata-mata mencari keredhaan Allah. Takut kepada riak dan munafik.

Sesiapa yang melakukan tujuh perkara itu dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan Allah; “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air (Syurga).” – Al Hijr: 45.

P/S : Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! dan hendaklah (tiap-tiap) orang yang memerhatikan apa yang diusahakan esok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Hasyr:18)

Kiamat besar & Kiamat Kecil Datang Tiba-tiba



Kiamat besar disebutkan oleh Allah akan datang secara tiba-tiba, tanpa dapat diramal secara tepat oleh manusia. Nabi Muhammad hanya diberikan oleh Allah ilmu berkenaan tanda-tanda hampirnya sahaja. Tiada siapa yang mampu meneka tarikh tepatnya, sama ada tahun atau bulannya.

Sesiapa yang cuba mengira-ngira sama ada berdasarkan jumlah dan ayat al-Quran dan sebagainya, ia sebenarnya sedang melakukan kekarutan dan menyeleweng dari jalan yang benar.

فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً فَقَدْ جَاء أَشْرَاطُهَا فَأَنَّى لَهُمْ إِذَا جَاءتْهُمْ ذِكْرَاهُمْ

Ertinya : Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila hari kiamat sudah datang? ( Surah Muhammad : 18)

Itu perihal kiamat besar, namun disampingnya ada kiamat kecil, iaitu kematian yang sentiasa basah di bibir Rasulullah mengingatkan umat dan sahabatnya. Kiamat kecil ini juga kerap datang secara tiba-tiba, sehingga kata orang ia datang “tanpa seorang itu mampu atau sempat bersedia”. Hakikatnya itu tidak benar, sebenarnya Allah mendatangkan kematian setelah kita semua diberikan masa dan infra secukupnya untuk bersedia. Cuma kita yang terlalu lalai dan terhijab dek kerana kecantikan dan kenikamatan sementara yang wujud di atas dunia ini.

Saya suka berkongsi dua video melalui entry ini. Satu darinya telah saya kongsikan di facebook saya, namun bagi meluaskan lagi jangkauan kebaikan yang boleh diperolehi dari video ini, saya muatkan ia di web ini. Sebuah video yang saya tonton berkali-kali, dan sebuah video yang mampu mengalirkan air mata.

Video ini memperlihatkan seorang yang dijemput kematian ketika betul-betul sesudah solat. Betapa kita tidak dapat menjangka bila nyawa akan ditarik. Setiap organ yang berfungsi di dalam tubuh kita adalah dengan izin dan kuasa Allah, kita tidak mampu mengawalnya. Kita tidak tahu, bila tiba-tiba ia jammed. Terhentinya ia beberapa minit cukup untuk menamatkan umur kita di atas dunia. Ia bukan seperti enjin kereta yang boleh ditangguh-tangguh untuk memulihkannya.


Kekaguman saya kepada individu ini bertambah apabila keadaan kematian yang begitu baik ( pada hari Jumaat 1 Jan 2010 adalah hari Jumaat dan beliau datang awal ke masjid) di sebarluaskan oleh ramai, malah dengan izin Allah, mampu menyedarkan dan menginsafkan ramai yang menontonnya. Ketika itu, terfikir bahawa kematiannya juga adalah sebuah dakwah yang hebat.


Setiap aliran darah, denyutan jantung, fungsinya hati, usus dan sebagainya, semua dikawal oleh kuasa Allah ta’ala. Bukan hanya apa yang di dalam tubuh malah juga semua yang diluarnya, Lihat video ini bagaimana secara tiba-tiba tiang boleh jatuh dan menimpa pejalan kaki.


Ramai yang terlupa di akhirat sana, nikmat yang maha besar sedang menunggu bagi sesiapa yang bersedia dan sentiasa menambah persediaan dan bekalannya. Nikmat Syurga tidak mampu sama sekali digambar, sebagaimana pereka cipta kereta Ford di awal rekaannya tidak akan mampu sama sekali terbayang kereta Ferrari di zaman ini. Jika diandaikan seorang dari kita tiba-tiba melayang ke masa silam dan cuba menerangkan perihal bentuk dan enjin Ferrari, bentuk dan fungsi i-phone dan i-pad ,tentunya tiada siapa yang berada di zaman itu boleh membayangkannya.


Begitulah kenikmatan akhirat yang disebut oleh Nabi dari Allah ta’ala :

أعددت لعبادي الصالحين ما لا عين رأت ، ولا أذن سمعت ، ولا خَطَرَ على قلب بشر

Ertinya : Aku menyediakan bagi hambaku yang soleh (syurga) yang tiada mata yang telah pernah melihatnya (tidak mampu tergambar), dan tidak pernah didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap kenikmatannya) oleh hati manusia. ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Manakala dalam catatan Imam Ahmad

إنه من يدخل الجنة ينعم ولا يبأس، لا تبلى ثيابه، ولا يفنى شبابه، في الجنة ما لا عين رأت، ولا أذن سمعت، ولا خطر على قلب بشر

Ertinya: Sesungguhnya sesiapa yang memasuki Syurga Allah akan dikurniakan nikmat yang tidak akan jemu, tidak binasa pakaiannya, tidak hilang kepemudaan/pemudiannya, apa yang di dalam Syurga, sesuatu yang mata tidak mampu tergambarnya, dan tidak pernah didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap kenikmatannya) oleh hati manusia. (Riwayat Ahmad)

Para ulama menghuraikan, perihal Nabi Adam yang pernah mendiami Syurga tidak sama sekali bertembung dengan hadis ini kerana syurga itu sentiasa berubah-ubah nikmatnya dan tidak akan sama sekali membosankan. Luasnya tidak tercapai oleh bayangan aqal manusia. Menurut hadis, individu yang menerima syurga paling terbawah pun besarnya adalah beberapa kali ganda dunia hari ini, apatah lagi yang lainnya. Justeru itu, apa yang dilihat oleh nabi Adam, dengan mudah sekali bagi Allah mengubahkan kepada apa yang dikehendakiNya.

Akhirnya sekali, ingatlah pesan dan teguran Imam Hasan Al-basri:

ما رأيت يقينًا لا شك فيه أشبه من شك لا يقين فيه من الموت

Ertinya : Tidaklah aku melihat satu perkara yang amat pasti (yakin) serta tiada keraguan padanya akan datang tetapi diperlakukan seperti suatu perara yang tidak pasti hadirnya, (seolah tidak yakin kewujudannya) lebih dari perihal kematian.

Sama-samalah kita berdoa agar sewaktu nyawa kita ditarik kita berada di dalam keadaan yang baik di sisi manusia, amat baik di sisi Allah. Janganlah dimatikan kita sewaktu terlanjur melakukan maksiat.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

P/S : Terima kasih Ustaz atas peringatan yang sangat berharga ini. Semuanya rahsia Allah. Bila Dia berkata jadi maka jadilah tanpa lengah walaupun sesaat. Untuk kita pula, perlulah sentiasa bersedia setiap masa menambah amal serta meningkatkan ibadah.  Semoga dengannya nanti kita bukan sahaja diberkati di dunia sahaja tetapi  yang lebih penting lagi  hidup bahagia selamanya di Syurga yang kekal selamanya. Itulah sasaran utama kita sepatutnya.. 

Saturday, April 24, 2010

Khutbah Nabi Mengenai Dajjal


"Bila seseorang selesai membaca tashahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari siksa neraka jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal'. [Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan utk dirinya sesuai kepentingannya]". (Hadith riwayat Muslim, Abu 'Awanah, Nasa'i dan Ibnu jarud dalam al-muntaqa [27].)


Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal."

Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi(angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin.

Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya.Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciriDajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

"Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas.

Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
"Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu-bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun . Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi. "Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah.

Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a.mengatakan:
"Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?"

Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya. " Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."

Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab:
"Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?"

Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh.

Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.

P/S : Wa'allahualam. Hanya Allah dan Rasulnya yang tahu. Jadikan ingatan Rasulullah S.A.W ini sebagai panduan dan peringatan untuk kita dengan harapan moga-moga kita semua dijauhkan daripada fitnah Dajjal ini.

9 Siti (Role Model Wanita)


1) Siti Khadijah
- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh org2 kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kpd Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah
- Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kdg2 berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah berkata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

3) Siti Aisyah
- Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.

4) Siti Hajar
- Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam
- Wanita suci yg mmg pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah
- Isteri Firaun yg tinggi imannya dan tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya drpd Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah
- Wanita mulia yg menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah
- Isteri yg patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kpd suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat utk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dgn cantik utk tatapan suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah
- Wanita kaya dermawan yg menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya utk membina terusan utk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

P/S :9 Siti ini adalah petikan drpd kata2 Ustazah Siti Norbahiah Mahmud dlm rancangan Halaqah TV9 bertajuk 'SITI IMPIAN'.

Jadilah Manusia Yang Baik


Manusia - Eh, dah subuh dah?
Malaikat - bangunlah wahai anak Adam, tunaikan solat subuh mu .
Syaitan - Alahhhhhh, kejaplah, ngantuk ini....awal lagi nie?.zzzzzzzz

Manusia - Nak makan, laparlah ??
Malaikat - Wahai Anak Adam, mulakanlah dengan Bismillah...
Syaitan - Ahh, tak payahla..... dah lapar ini !! mmm..sedapnyaaaa? .

Manusia - Hari ni nak pakai apa ye?
Malaikat - Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat..
Syaitan - Ehh,panaslah, takde style langsung, nampak kampung!!!

Manusia - Alamak, dah lewat!
Malaikat - Bersegeralah wahai manusia , nanti terlewat ke pejabat..
Syaitan - Ahhh?awal lagi?mmm..aaahh? suruh si X, punchkanlah?

Manusia - Azan sudah kedengaran... .
Malaikat - Wahai anak Adam, bersegeralah menunaikan kewajipan
Syaitan - Baru pukul berapa.. rilex lah..awal lagi nieii?.

Manusia - Eh, eh... tak boleh tengok ini, berdosa...
Malaikat - Wahai anak Adam, alihkanlah pandanganmu, sesungguhnya Allah Maha Melihat dan mengetahui !
Syaitan - Perggghh.... best tu... . rugi ooo kalau tak tengok nie..

Manusia - Saudaraku sedang melakukan dosa
Malaikat - Wahai anak Adam, cegahla ia..
Syaitan - Apa kau sibuk? Jangan jaga tepi kain orang, lantaklahh? .

Manusia -Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain
Malaikat - Wahai anak Adam, nasihat-menasihatil ah sesama kamu..
Syaitan - Sendiri pikirlah, semua dah besar, buat apa susah2.... pandai2lah?

Manusia - aku telah berdosa..
Malaikat - Wahai anak Adam, bertaubatlah kamu,sesungguhnya Allah Maha Pengampun. .
Syaitan - Tangguhlah dulu, lain kali boleh bertaubat... lagipun muda hanya  sekali....rugila. ... (kalau sempatla)

Manusia - Kalau pergi, mesti seronok!
Malaikat - Wahai anak Adam, kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkai Allah, berpalinglah dari jalan    itu .
Syaitan - Jangan bimbang, tiada sesiapa yang tahu...Jomlahhh?

Manusia - Uuhhh?letihnya arini..tak solat lagi nieee?.
Malaikat - Wahai anak Adam, taatilah Allah dan RasulNYA,kebahagiaan di dunia dan akhirat untukmu. Solat itu wajib bagimu...
Syaitan - Hey anak Adam, ikutilah aku,kebahagiaan di dunia (sahaja) dan kebahagiaan diakhirat (jangan mimpilah!) untukmu....

P/S : Kita bukan Malaikat yang suci dari sebarang dosa dan Jannah la tempatnya. Kita bukan syaitan yang telah dijanjikan tempat yang tersiksa di hari pembalasanNYA. Tetapi kita manusia yang telah diberi akal dan fikiran yang sempurna. Boleh saja kita mengimpikan tempat tinggal di syurga seperti yang telah dijanjikan kepada malaikat. Dan boleh jadi juga kita akan ditempatkan di neraka bersama syaitan laknatullah. Semuanya bergantung kepada kita sendiri. Panduan telah diberi. selagi mana kita berpegang pada panduan yang telah diturunkan kepada kita melalui kekasihNYA Muhammad S.A.W, selagi itu kita berada di landasan yang betul sebagai hambaNYA.